Aug 11, 2024 - FASSelangor FC terus kekal di tempat kedua saingan Liga Super 2024/25 dengan kemenangan menentang Kelantan Darul Naim FC dengan keputusan 2-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Semalam merupakan kemenangan kelima kali dalam saingan Liga Super 2024/25. Penyerang import, Ronnie Fernandez telah menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-66 dan ke-86 dalam perlawanan #SFCKDN semalam. Gol pertama dijaringkan selepas Reziq Banihani menanduk bola ke arah Ronnie dan beliau terus meledak masuk bola tersebut ke arah gawang gol Sang Kijang Emas.
Perlawanan bertukar selepas jaringan tersebut, membuka lebih banyak percubaan demi percubaan daripada skuad Gergasi Merah. Antara gerakan serangan yang dilakukan membawa ke sepakan penalti selepas Ronnie di ‘tackle’ dalam kawasan kotak penalti, dengan tenang beliau mengambil sepakan penalti tersebut sekaligus menjadi gol terakhir perlawanan semalam.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, gembira dengan kemenangan tanpa bolos tetapi tetap berikan respek kepada skuad Sang Kijang Emas.
“Saya puji Kelantan kerana mereka bertahan dengan baik kerana saya tahu bertahan juga bukan satu yang mudah tetapi saya gembira di separuh masa kedua, dengan beberapa pertukaran pemain, mereka meneruskan perjuangan dengan sepatutnya sehingga tamat perlawanan. Selain itu, saya gembira dengan dua jaringan gol Ronnie semalam yang sekaligus membawa kemenangan kepada pasukan. Dalam masa yang sama, kita juga memperoleh kemenangan tanpa bolos yang juga satu sasaran semua orang dalam sukan bola sepak ini. Alhamdulillah, kita dapat kedua-duanya dalam perlawanan semalam,” kata Nizam Jamil.
Daripada perlawanan #SFCKDN dalam perlawanan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Kembalinya Sang Pejuang #FH7
Penantian seluruh penyokong kancah bola sepak Malaysia, kembalinya Faisal Halim, pejuang kejadian simbah asid pada awal bulan Mei yang lalu. Beliau telah tersenarai sejak perlawanan menentang Terengganu FC dalam saingan Separuh Akhir Piala FA namun secara rasmi beraksi buat kali pertama musim ini dalam liga Malaysia menerusi perlawanan #SFCKDN semalam pada minit ke-85. Pada minit ke-87, melakukan percubaan pertama beliau dengan menanduk bola ke arah gol pihak lawan selepas menerima hantaran baik daripada Alvin Fortes dari sebelah kanan, namun nasib tidak menyebelahi beliau, bola tersebut tepat ke arah palang gol. Selain itu, beliau juga telah dililit lengan kapten selepas Safuwan Baharudin dikeluarkan pada minit ke 90+2.
Pihak media kerap menanyakan kepada Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC berkenaan keadaan Faisal Halim dan kali ini beliau menjelaskan tindakan dan harapan beliau, “Mickey (Faisal) tidak beraksi secara kompetitif dengan jangka masa yang lama. Kita kena faham bahawa beliau perlukan masa yang cukup. Saya juga tidak mahu orang rasakan beliau bukan Faisal yang sebelum ini. Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk memberi minit bermain kepada beliau agar dapat membantu perkembangan beliau. Kalau kita tengok perlawanan semalam, beliau juga hampir menjaringkan gol. Tanggungjawab saya adalah untuk membantu beliau kembali sedia untuk beraksi seperti biasa untuk berkembang dengan lebih baik.”
Ronnie Fernandez menambah jaringan Liga Super
Terus menyesuaikan diri dengan kancah bola sepak Malaysia, Ronnie Fernandez, penyerang import Gergasi Merah yang diumumkan musim ini menjadi penjaring kepada kedua-dua jaringan yang membawa kemenangan kelima Gergasi Merah dalam saingan Liga Super. Ronnie juga telah dinobatkan sebagai Man of The Match perlawanan petang semalam dengan dua jaringan tersebut. Untuk pengetahuan, ini kali kedua beliau menjadi Man of The Match, kali pertama adalah semasa menentang Perak FC, dimana dalam perlawanan ini juga beliau menjaringkan dua gol. Setakat ini, Ronnie telah menjaringkan enam jaringan gol, lima dalam saingan Liga Super dan satu di Piala FA.
Nidzam Jamil percaya akan kebolehan yang dimiliki penyerang import ini, biarpun beliau mungkin mengambil masa untuk menjaringkan gol namun sumbangan beliau terutama sekali dalam serangan adalah sangat tinggi, kebanyakan gol yang dijaringkan musim ini datangnya gerakan beliau. Nidzam juga, gembira Ronnie terus menjaringkan gol dan mahu beliau untuk terus mempamerkan aksi terbaik beliau.
Reziq Banihani terus mendapat keyakinan
Setelah ditimpa kecederaan di bahagian buku lali semasa pramusim di Jakarta, Reziq berusaha keras untuk mendapatkan semula rentaknya. Beliau juga telah beraksi dalam satu perlawanan Piala MFL bawah 23 tahun semasa menentang Sabah FC II bagi mendapatkan tahap kecergasan yang maksimum sebelum beraksi semula bersama skuad utama Selangor FC. Dalam perlawanan tersebut, beliau berjaya menjaringkan hatrik pertama untuk dirinya juga buat skuad feeder Gergasi Merah. Beliau kemudian diturunkan dalam beberapa perlawanan dalam saingan Liga Super sebelum kembali mendapat keyakinan dalam perlawanan Separuh Akhir Piala FA di Stadium MBPJ dengan jaringan pada minit ke 90+1, sekali gus mengesahkan skuad Merah Kuning layak ke perlawanan Akhir saingan tersebut. Manakala dalam perlawanan semalam pula, beliau berjaya membuka akaun ‘assist’ buat kali pertama setelah menanduk bola tepat ke arah Ronnie Fernandez sebelum jaringan sulung aksi #SFCKDN disahkan.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin berterima kasih kepada 7,465 penyokong yang telah hadir ke perlawanan #SFCKDN dan memeriahkan stadium dengan memberi kerjasama bersama salah satu rakan kongsi Selangor FC iaitu KHIND dengan kempen Hari Aksi Juara KHIND, bersempena kembalinya semula Faisal Halim dalam kancah bola sepak Malaysia. Teruskan menyokong kelab Gergasih Merah sepanjang musim 2024/25.
Demi Kebanggaan!